Setiap kali hari Jumaat ada seorang hartawan yang selalu memasukkan wang segumpal note yang berwarna merah kedalam tabung kutipan masjid yang dihulurkan kepadanya sewaktu khatib sedang membaca khutbah jumaat. Sudah beberapa kali captain saksikan dan alangkah indahnya jika semua orang yang berada dan kaya di Malaysia berbuat demikian.
Tetapi sesetengah dari mereka hanya bersedekah jika ada kamera siaran langsung dan dimuatkan dimuka depan Utusan Malaysia. Itu pun untuk mengelak cukai pendapatan. Derma atau pun sedekah sebaik-baiknya secara senyap tak perlu dipertontonkan melainkan agenda-agenda yang bersangkutan dengan hal politik supaya orang ramai tahu siapa yang menderma dan memberi sumbangan kepada rakyat kerana itu bukan wang mereka tetapi hak rakyat yang harus digunakan untuk kebaikan rakyat.
Agenda yang bukan melibatkan politik lakukan seperti lirik lagu Herman Tino "Tangan Kanan Memberi Sorokkan Tangan Kiri." Kebanyakkan dari kita sanggup mendermakan duitnya untuk rancangan realiti TV dengan menghantar undian SMS sehingga kutipan mencecah berjuta-juta. Tapi nak bersedekah memang cukup bakhil dan berkira sangat.
InsyaAllah pembaca yang selalu datang membaca disini, ramai yang membuat "Amal Jariah" dengan mewaqafkan kitab. Lebihkurang dari 40 pembaca termasuk yang menghubungi captain terus kerana tidak tahu menggunakan "email". Alhamdulillah semuga amal jariah mereka ini akan kekal sehingga hari akhirat. Selain dari itu kepada mereka yang menyumbang melalui "Klik pada Iklan Innity" juga. Hasil pendapatan dari Iklan separuhnya akan disalurkan ke Tabung Amal Jariah. Sesiapa yang ingin mewaqafkan untuk masjid, insyaAllah captain akan uruskan dengan pihak-pihak masjid. Memang ada masjid yang sejadahnya sudah lusuh tapi masih digunakan.
Berbalik kepada tajuk N3 inI. Sedekah bermaksud pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah swt. Ia adalah antara amalan mulia yang digalakkan oleh agama Islam. Bukan sahaja boleh menyucikan jiwa kita daripada sifat haloba kepada dunia malah boleh juga mengubati penyakit.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda
“Bersedekah boleh mengubati penyakit dan boleh menolak daripada sebarang penyakit serta menyampaikan segala maksud”.
Kisah seorang sheikh tentang anaknya yang sakit.
Sheikh ini mempunyai anak berumur 5 tahun. Pada suatu hari dia jatuh sakit. Dia pun membawa anaknya kepada doktor dan doktor memberitahunya bahawa anaknya sakit teruk dan tidak boleh disembuhkan. Dia akan mati tidak berapa lama lagi.
Sheikh yang bertaqwa lagi soleh ini pun mula berasa sedih yang bersangatan. Dalam kesedihan beliau tiba-tiba terlintas di fikiran sebuah hadith Rasullullah SAW:
“Rawatilah penyakit kamu dengan bersedekah.”
Pada malam tersebut seperti kebiasaan beliau selepas bangun untuk bertahajjud dan berdoa maka beliau memutuskan untuk keluar ke jalan raya untuk mencari orang yang boleh disedekahkan namun tidak ketemu. Cuaca di luar sangat dingin ketika itu dan manusia sedang tidur dalam rumah mereka.
Namun beliau bertemu dengan seekor kucing putih lagi comel yang sedang menyusukan anak-anaknya dalam keadaan kelaparan yang bersangatan. Beliau pun segera kembali ke rumahnya dan memberikan kepada kucing tersebut seketul daging dengan niat sedekah kerana Allah SWT.
Kemudian beliau pergi ke masjid untuk solat Subuh dan kemudian kembali ke rumah untuk tidur sebentar. Semasa tidur beliau melihat suatu mimpi yang aneh di mana seekor gagak hitam yang besar menyerang anaknya dan cuba menyambarnya dalam keadaan anaknya menangis sambil meminta tolong. Dengan tidak semena-mena datang seekor kucing putih yang menyerang dan mencarik-carikkan gagak tersebut dan budak itu pun terselamat.
Sheikh pun bangun selepas itu tanpa mengambil peduli tentang mimpi beliau yang aneh. Seperti kebiasaannya beliau akan membawa anaknya kepada doktor untuk beberapa pemeriksaan dan ujian. Doktor merasa terkejut selepas ujian tersebut dan mengesahkan bahawa anaknya tidak lagi mengalami apa-apa penyakit. Sheikh pun teringat kembali mimpi beliau serta sedekah yang beliau lakukan secara tersembunyi dalam kegelapan malam lalu bersyukur kepada Allah SWT atas perkara tersebut. Anak beliau pun membesar lalu menjadi seorang pemuda yang bertaqwa, menghafal keseluruhan Al Qur’an dan memiliki suara yang indah lagi lunak.
Lihatlah cerita di atas tadi kawan-kawan. Apabila kita bersedekah Tuhan akan menambahkan berkat dalam hidup kita. Tak kiralah sakit yang dialami sangat kronik serta memerlukaan pembedahan atau demam selsema biasa. Cubalah bersedekah, insyaAllah doa kita supaya disembuhkan daripada penyakit akan dimakbulkan Tuhan.
Fadhilat sedekah meliputi kelebihan di dunia hingga ke akhirat. Keikhlasan bersedekah hanya layak dibalas dan dinilai oleh Allah SWT. Sebenarnya ada banyak lagi keajaiban dan keistimewaan yang terdapat dalam amalan bersedekah ini.
Kepada yang berdoa dan masih belum lagi dikabulkan doa. Harap-harap perbanyakkanlah bersedekah supaya Allah SWT makbulkan permintaan anda.
Wasallam.
No comments:
Post a Comment