Boleh
kah mengulangi solat kerana was was atau tak khusyuk
1. Bila timbul keraguan tentang
bilangan sujud, lakukan sujud sekali lagi, kemudian di akhir solat lakukan
sujud sahwi. Sujud sahwi itu akan menampung kekurangan pahala solat kerana
keraguan tadi.2. Tidak harus berhenti solat dengan sengaja kecuali jika
benar-benar yakin solat kita batal seperti ada najis pada badan, terlupa
mengambil wudhuk atau aurat terdedah/kain terkoyak (dan tidak dapat ditutup
ketika solat).3. Adapun merasa tak khusyuk atau ada rukun atau perbuatan solat
tidak sempurna, tidak harus berhenti solat. Apa yang perlu dilakukan ialah
meneruskan solat. Jika kita yakin ada rukun yang tak sempurna, hendaklah
dilakukan semula rukun itu tanpa berhenti solat. Contohnya, apabila kita berada
di rakaat kedua kita teringat bahawa pada rakaat pertama tadi kita terlupa baca
Fatihah, kita hendaklah meneruskan solat dengan mengira rakaat kedua itu
sebagai rakaat pertama kerana rakaat pertama tadi tidak dikira kerana
tertinggal satu rukun iaitu membaca Fatihah. Adapun solat kita tidaklah batal
(atau perlu dibatalkan) kerana bukan sengaja kita tidak membaca Fatihah, akan
tetapi kerana terlupa. Kemudian di hujung solat, kita tampung kelupaan kita itu
dengan sujud sahwi.
4. Suatu yang mustahil bagi seorang
manusia biasa (yang bukan rasul) untuk mencapai 100% khusyuk dalam solat.
Kerana itu, para ulamak sepakat menyatakan bahawa; tidak batal solat dengan
kerana terkurang khusyuk. Yang membatalkan solat ialah apabila dengan sengaja
ditinggalkan rukun-rukun solat atau dengan sengaja dilakukan di dalam solat
perbuatan-perbuatan yang bukan solat seperti makan, bercakap, bergerak dengan
pergerakan yang bukan disuruh dalam solat. Adapun tidak khusyuk ia tidak sampai
membatalkan solat, cuma boleh mengurangkan pahala solat. Semakin kurang
khusyuk, semakin berkuranglah pahala solat hinggalah mungkin pahala solat kita
hanya tinggal 20% atau 10% sahaja. Adapun untuk tinggal 0%, itu tidak mungkin
berlaku kecuali orang yang berolok-olok mengerjakan solat ataupun ia gila/tidak
siuman.
Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya
seorang lelaki selesai menunaikan solat, namun tidak ditulis pahala untuknya
melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam,
seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud
dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a.. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini
soheh. Lihat. Al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 1978).
5. Perlu disedari bahawa Allah
mensyariatkan banyak solat sunat untuk kita lakukan. Di antara manfaat solat
sunat ialah ia akan menampung kekuarangan dalam solat fardhu kita. Oleh
demikian, cara untuk menampung kekurangan dalam solat fardhu bukanlah dengan
mengulanginya (kerana kita ditegah mengulangi solat fardhu tanpa sebab), akan
tetapi dengan kita banyak melakukan solat-solat sunat.
6. Menurut ulamak; Solat fardhu yang
telah dilakukan tidak harus diulangi semula kecuali dengan sebab-sebab berikut;
a) Kerana kita menemui jamaah. Contohnya; kita telah menunaikan solat zohor tetapi secara berseorangan. Kemudian kita menemui ada jamaah ingin menunaikan solat zohor berjamaah. Maka harus kita solat semula zohor dengan jamaah itu kerana kita mendapat yang lebih baik.
b) Kerana kita mendapati solat fardhu yang kita lakukan tidak sah seperti belum masuk waktu, ada najis di pakaian atgau ada rukun yang tertinggal (dan telah berlaku masa yang lama baru kita mengingatinya, yakni telah lama kita memberi salam).
c) Kerana ingin membantu orang lain bagi mendapatkan jamaah. Contohnya; kita telah pun solat bersama jamaah. Kemudian ada seorang masuk ke masjid dan mengajak kita untuk solat bersamanya bagi membolehkannya mendapat pahala jamaah, maka harus kita solat bersamanya sekali lagi dan kita akan mendapat pahala membantu orang lain di samping pahala solat.

Wallahu a’lam.
Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN
FADZIL Ahli Panel Syariah HPA
INGIN MUDAH MENGHAFAL AYAT AL-QURAN
SILA KLIK LINK INI
No comments:
Post a Comment