Banyak GRO Melayu di kelab Malam diseluruh negara memilih profesion ini kerana desakan hidup kononnya. Tetapi sebenarnya mereka lebih selesa dan senang mendapat duit dengan melayan pelanggan. Banyak kerja lain yang halal tapi gaji tak seberapa. Ada yang berazam akan meninggalkan kerja ini setelah mendapat kerja lain yang halal. Begitulah kata-kata mereka yang insaf tapi terus melakukan. Ada juga segelintir pelajar dari IPTA dan IPTS yang menjadi GRO separuh masa. Teruskan baca sumber yang diambil dari Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman untuk peringatan kepada mereka yang terlibat sebagai GRO......
PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di dalam negara kita.
Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus.
Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.
Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.
Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.
Kutukan perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.
Pada masa sama, ada pula pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis.
Kita perlu sedar, teknik dakwah adalah hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan.
Bagaimanapun, selepas melakukan semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang ‘neutral’ dan benar-benar bersifat pentadbiran.
Namun begitu, tugasan yang ‘tidak bertulis’ itulah yang merumitkan, di mana ia kerap melewati tugasan tidak sihat iaitu melayan kehendak pelanggan walau hingga ke dalam bilik.
Jelas di sini, tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga sasaran perniagaan tercapai’.
Merujuk kepada situasi ini, penggunaan GRO di negara kita perlu dikaji berikutan ia bercampur antara dua bidang tugas iaitu yang haram serta yang tidak haram.
Ini kerana, jika dilihat daripada laporan media, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’.
Justeru, menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada dilakukan mana- mana wanita atau lelaki Islam, walau dalam apa keadaan mereka sekalipun.
Oleh itu, saya ingin menegaskan secara umum kepada sesiapa saja yang cuba mencari alasan dan ‘justifikasi’ untuk membenarkan umat Islam bertugas dalam kerjaya GRO dan yang sepertinya dengan beberapa fakta iaitu:
1. Apa saja tugasan dan kerjaya haram mesti disebut sebagai ‘haram’, khususnya kerjaya GRO dan pelacur.
Menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memaklumkan gesaan berhenti serta-merta dan bukan memberi masa. Jangan sesekali kita bertindak luar biasa untuk memberi apa saja kenyataan yang seolah-olah memberi izin untuk mereka meneruskan kerjaya itu atas alasan darurat.
Klasifikasi darurat tidak boleh diguna pakai tanpa ilmu dan kajian khusus. Jangan sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi mengharuskan yang haram.
Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, “apa yang diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan limitasinya (batasan).”
Sejauh mana batasannya dipantau dan dipatuhi? Jika darurat, ia perlu dinilai mengikut timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia maslahat yang tertolak.
Oleh itu, yang perlu ditegaskan adalah gesaan mencari kerjaya lain dan bertaubat dengan serta-merta.
Taubat di dalam Islam memang perlu disegerakan kerana Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai: “Meninggalkan maksiat dengan serta-merta dan berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa depan, dan berusaha menebus dosa lalu.” (Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)
2. Kerjaya haram GRO dan yang sepertinya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan petugas itu, akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran dan bukan memberi ruang untuk dia meneruskannya.
Justeru tidak wajar timbul cadangan dari sesiapa juga untuk ‘biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa terus bergelumang dengan dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, wujudlah satu titik hitam di hatinya, apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam Kitab-Nya.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim)
3. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya usah bertangguh dalam mengerjakan hal baik, khususnya taubat.
Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru pekerja dalam sektor haram sebegitu dan yang lainnya untuk segera bertaubat dan bukan memberi mereka masa seolah-olah kerjayanya boleh diterima dengan hujah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.
Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihentikan serta-merta tanpa tangguh.
Sesiapa saja yang ingin memberi motivasi dan membetulkan keadaan tidak boleh berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan Rasul-Nya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa, 17)
Imam Al-Ghazzali juga menjelaskan bahawa: “Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7). Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun kita tak boleh memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.
4. Tidak boleh diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau pihak berwajib atau pendakwah belum menyediakan tugasan alternatif untuk pekerja sebegitu, ini kerana selaku manusia yang sihat, setiap individu yang diberikan oleh Allah akal dan tubuh yang sihat.
Manusia sepatutnya bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh anggotanya untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan ‘skil’ itu untuk memperoleh pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.
Kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya wajib difikirkan dan diusahakan oleh si pelaku itu sendiri jika dia masih beragama Islam.
Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat.
Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah daripada memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat saja kisah Nabi Musa AS dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.
Imam al-ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa taubat dan berhenti tapi ingin Rahmat Allah SWT dan dimudahkan kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti: “seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan fakir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang. (Ihya Ulumiddin, 4/58)
Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata, penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi. (Ihya Ulumiddin, 4/58)
Jika ada yang mengatakan petugas ini boleh berniat tidak reda dan berusaha sedikit demi sedikit untuk mencari kerjaya lain, kenyataan sebegitu adalah tersasar kerana pelakuan maksiat yang dilakukan tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta tidak diterima di dalam Islam.
Malah perbuatan itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancurkan agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak dan hartanya tidak diberkati.
Kesimpulannya, ada pihak menjadi cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan yang berjaya diperoleh melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal tapi bergaji rendah.
Ingat, jika pekerja GRO atau mana-mana petugas dalam industri haram terus dalam pekerjaan kotornya dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya’ daripada mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Apabila kamu lihat Allah memberi limpahan kurnia di dunia kepada hambanya, sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu ‘istidraj’.”
Kemudian Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, kami akan rampas darinya secara tiba-tiba, ketika itulah mereka berputus asa.” Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)
‘Istidraj’ yang disebut di dalam hadis tadi bermaksud kurniaan ganjaran keduniaan kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan.
Hal ini serasi dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada penyakit (dosa dan mereka biarkan), lalu Allah menambahkan penyakit di dalam hati mereka.”
Oleh itu, mereka yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini berhenti daripada kerja GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya haram sama ada melalui nasihat atau kecaman.
Jangan sekali-kali membuka jalan serta memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.
Namun, hulurkan bantuan dan kasih sayang, antara tanda kasih sayang itu adalah menasihatkannya supaya terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.
Sumber: Ustaz Zaharuddin (Harian Metro)
No comments:
Post a Comment