Mungkin selama ini dari kecil sehingga kini tanpa kita sedari kita melakukan bid'ah yang dianggap kecil oleh kita kerana ibubapa kita pun melakukan, anak ustaz juga melakukan termasuk pemimpin-pemimpin kita. Mungkin ramai yang menolak dan tidak bersetuju. Tetapi itulah sebenarnya sambutan hari jadi yang telah kita sambut sejak dahulu lagi. Jika sambutan hari jadi ini perkara yang baik. Mungkin pada zaman sahabat, tabiin dan seterusnya. Nescaya mereka lebih awal menyambutnya. Renung-renung dan fikirkan sendiri.
Kenyataan ini disebutkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam buku beliau al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-muslim fi al-Syariah al-Islamiah, (cetakan ke 2 (1994M-1415H), jilid 9, halaman 310-311). Kenyataan ini juga disebut oleh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris dalam buku beliau Fatawa Syar'iyyah (jilid 2, halaman 788-789). Menurut beliau, tidak ada sambutan (عيد) hari jadi sekalipun mereka itu pemerintah, pembesar atau anak-anak.
Menurut Dr. Abdul Karim Zaidan sambutan hari lahir lahir (hari jadi/birthday) yang diadakan saban tahun oleh golongan lelaki mahupun wanita, diadakan sambutan (haflah) yang dihadiri oleh keluarga dan kerabatan dan anak yang disambut hari lahirnya. Pada majlis itu disusun meja dan diletakkan kek yang besar yang dinamakan kek hari jadi yang pelbagai bentuk sama ada bulat, berlapis-lapis yang dipacakkan dengan lilin yang jumlahnya mengikut umur mereka yang disambut dan dipotong kek itu. Budak itu akan memulakan mengambil sepotong kek dan diikuti para hadirin.
Menurut beliau, sambutan hari jadi yang disifatkan di atas merupakan perkara bidah yang munkar yang wajib ditinggalkan dan dicegah. Ia merupakan amalan bukan islam yang ditiru oleh orang Islam atau sebahagian orang Islam. Sambutan ini merupakan perkara yang ditegah oleh syarak. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang meniru sesuatu kaum, ia adalah dari mereka (hadis diriwayatkan oleh Abu Daud, No. Hadis 8593). Maksud hadis itu ialah sesiapa berpakaian dengan pakaian mereka, beramal dengan amalan mereka, berakhlak dengan akhlak mereka dan mengikut jejak langkah atau tred mereka dalam perpakain dan amalan mereka.
Beliau menyambung, Nabi s.a.w diutuskan dengan disyariatkan perkataan dan amalan yang berbeza dengan amalan Yahudi dan Nasrani ( والضالين المغضوب عليهم) ). Nabi s.a.w diperintah supaya menyalahi mereka (berbeza dengan mereka) dalam perkara-perkara zahir yang membawa kepada muwafakah dan tasyabuh dengan akhlak dan amalan mereka.
Orang Islam hendaklah berpada dengan apa yang disyariatkan kepada mereka:-
Cukuplah bagi orang-orang Islam mengadakan akikah untuk anak pada hari ketujuh dengan mengadakan walimah untuk anak itu.
Orang-orang islam pada zaman Nabi s.a.w., begitu juga Tabiin tidak kenal dan tidak memperkenalkan sambutan ini kepada anak-anak mereka. Mereka tidak menyambutnya saban tahun. Pada mereka itu ada qudwah yang baik.
Pandangan ini bukan pandangan umum ulama. Sambutan seperti ini juga sudah menjadi adat, kebiasaan dan cuti umum sempenan kelahiran seseorang. Artikel ini sekadar pencetus idea dan minta sahabat-sahabat semua berfikir dengan kritikal. Jawapan Dr Abdul Kadir Abu Faris ketika diajukan soalan mengenai sambutan maulid rasul (pandangan beliau newakili golongan yang tidak bersetuju dengan sambutan maulid Nabi (isu lama dan masih relevan).
Kata beliau:
al-Aid (العيد) merupakan mustalah syarie.... (h.788 buku beliau)
Nabi s.a.w. telah memberitahu kepada sekelian mukmin bahawa mereka ada dua perayaan tidak ada yang ketiga iaitu hari raya adha dan fitri. Setiap hari raya itu masing-masing ada solat dan khutbah khusus yang dilakukan orang orang Islam.
Tidak terdapat satu nas daripada Nabi s.a.w. menjadikan (mengadakan) hari raya ketiga sama ada sempena kelahiran Baginda, hari hijrah baginda, hari kemenangan di Badar. Baginda juga menegah orang Islam berlebih-lebih memuji Baginda sehingga terjerumus ke lembah kesesatan dan penyelewengan sebagaimana terjadi kepada golongan Nasrani.
Perbincangan utama:
Begitu juga tidak wujud dalam Islam apa yang dinamakan sebagai Hari Ibu, Hari Wanita, Hari Bapa, Hari guru, Hari Kanak-kanak (tanpa dijelaskan dengan terperinci) dan sebagainya, begitu juga hari jadi individu sekalipun mereka itu pemerintah, pembesar dan kanak-kanak. Perkara yang pelik sehingga boleh menangis (terlalu pelik) kita lihat mereka ini meniup lilin yang dipacak sesuai dengan umur mereka terikut-ikut (mengikut) orang kafir barat yang telah memerintah (baca menguasai) orang Islam di negara orang Islam sendiri dengan nilai-nilai mereka, undang-undang mereka dan adat-adat mereka yang telah menyerang orang Islam di negara mereka sendiri.
Pelik lagi, pemerintah ini membelanjakan jumlah yang banyak dari harta negara ketika menyambut hari jadi mereka. (Fatwa/ respon Dr Abu Faris mengenai sambutan maulid Nabi.)
Peringatan sekali lagi. Artikel ini mengambil pandangan pihak yang tidak membenarkan sahaja.
Persoalan:-
1) Adakah perkara yang disebutkan itu berlaku di negara kita?
2) Bagaimanakah cara menghormati dan menyayangi (biir waalidain) ibu-bapa yang dianjurkan oleh islam yang disekalikan kewajipan mentaati ibu-bapa selepas mentaati Allah (وقضى ربك....?)
3) Sama-sama fikirkan
Umat Islam ada cara tersendiri sebagaimana yang diajarkan oleh agama. Mereka ada cara mereka. Jadi bagi mereka agama mereka dan bagi kita agama kita. Jangan terikut-ikut (kepentingan besar) walaupun ia nampak baik. Faktor terikut-ikut itulah nampaknya di sini menjadi salah satu titik besar sehingga kita kehilangan jati diri, identiti, kelainan dengan mereka walaupun dengan alasan tidak bercanggah.
Jika tidak bercanggah, ini point yang bagus, tapi tidak adakah cara yang ditunjukkan oleh agama kita yang bersifat sempurna, merangkumi dan mencakupi semua aspek itu untuk dihayati...? Sama-sama kita fikirkan iaitu faktor jadi diri, kelainan sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud. (berbezalah dengan yahudi..)
Kesimpulannya, terdapat 5 hujah yang digunakan bagi mengukuh pandangan beliau ini:-
1) Ia bukan ajaran agama. Dengan kata lain, agama telah menggariskan syariat yang cukup jelas untuk dilakukan apabila seseorang anak itu dilahirkan bermula dengan azan, iqamah, tahnik, bercukur, berkhitan, memberi nama dan melakukan akikah. Agama tidak meninggalkan satu-satu amalan, maka tidak perlulah ditambah amalan lain.
2) Hukum ini dianalogikan kepada sambutan maulid Nabi s.a.w. Sebagaimana yang diketahui, para ulama perbeza pendapat menentukan hukum maulid ini. Satu golongan mengatakan sambutan itu adalah bidah (Cth: Dr Abu Faris) dan ada ulama yang mengatkan tidak menjadi masalah menyambutnya. Hujah yang mengatakan boleh menyambutnya antara lain ialah kita menyambut maulid Nabi itu kerana memperingati perjuangan Nabi, risalah dan kenabian itu sendiri untuk dijadikan pengajaran, bukan sekadar sambut kelahiran semata-semata dan cukup setakat itu. Analoginya, Jika kita menyambut birthday anak-anak kita, maka atas dasar risalah apa yang dia bawa?
3) Ia bukan amalan salafuna al-saleh bermula dari zaman sahabat, tabiin dan seterusnya. Jika sambutan itu perkara baik, nescaya mereka lebih awal menyambutnya.
4) Ia bukan amalan dan budaya orang islam, sebaliknya ia adalah budaya orang bukan islam yang diikut-ikut (taqlid) oleh orang Islam.
5) Apatah lagi jika majlis itu dicampuri dengan unsur-unsur maksiat yang lain sebagaimana yang dilakukan sesetengah masyarakat Islam pada hari ini yang boleh dilihat di media massa.
Oleh: Aqwa Hazim
Sumber asal: Artikel Mohd Noor bin Daud, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris. B.A (Hons) Universiti Yarmouk, M.A, Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment